KUALA KRAI: Lebih 50 penduduk Kampung Sungai Taku di sini, menarik nafas lega apabila jambatan sementara yang menghubungkan kampung berkenaan ke bandar Kuala Krai siap dan sudah boleh digunakan.
Jambatan itu dibina secara bergotong-royong oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menggantikan jambatan konkrit yang masih tidak boleh dilalui akibat ditenggelami air banjir sejak November tahun lalu.
Seorang penduduk, Shanawiah Shafien, 56, berkata, jambatan berkenaan adalah laluan utama yang memendekkan jarak perjalanan untuk ke bandar Kuala Krai.
“Jambatan ini juga menjadi nadi penting kepada pelajar untuk berulang-alik ke sekolah setiap hari. Kami berterima kasih kepada gabungan NGO yang terlibat dalam membina jambatan sementara ini sekali gus memudahkan urusan harian penduduk di sini,” katanya, semalam.
Pengerusi Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed berkata, lebih 10 ahli gabungan pelbagai NGO termasuk dari Kuala Lumpur menyumbang tenaga membina jambatan sementara tersebut bagi memudahkan urusan harian penduduk terutama untuk menghantar anak ke sekolah.
Katanya, antara NGO yang terlibat ialah Persatuan Gerakan Amal Bersama (GRAB), Volunteer 1 Malaysia (V1M), Pertubuhan Gerobok Iman Hawa (GIH), Persatuan Kebajikan Dapur Redah, Cempaka Merah Asnaf Society dan Kelab Xpedisi Kelantan yang menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena pasca bantuan banjir.
“Prihatin dengan nasib penduduk, kami bergotong-royong membina jambatan sementara ini bermula Jumaat lalu dengan menebang pokok di kawasan berhampiran dan membelah kayu untuk dijadikan papan lantai jambatan.
“Alhamdulillah, dengan kerjasama semua pihak termasuk anak-anak kampung, jambatan sementara ini siap sepenuhnya semalam selepas tiga hari kami bergotong-royong dan kini ia sudah boleh dilalui menggunakan motosikal,” katanya.-UTUSAN.