Penduduk enggan pindah meski Gunung Ibu meletus

Penduduk enggan pindah meski Gunung Ibu meletus

ABU tebal dilihat dari pos pemantauan Gunung Ibu di Halmahera Barat, Maluku Utara.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERNATE: Ribuan penduduk enggan berpindah walaupun gunung berapi Ibu di wilayah Maluku Utara, Indonesia, mengeluarkan awan abu tebal setinggi empat kilometer (km), dengan alasan mereka sudah biasa dengan letusan tersebut.

Gunung yang terletak di pulau terpencil Halmahera itu meletus pada Rabu, memaksa pihak berkuasa meningkatkan tahap amaran di kawasan sekitar ke tahap paling buruk.

Pihak berkuasa tempatan segera mengarahkan pemindahan lebih 3,000 penduduk dari enam buah kampung di kawasan sekitar.

Bagaimanapun, jurucakap agensi pengurusan bencana daerah, Irfan Idrus memaklumkan, hanya satu kampung yang dipindahkan setakat ini, manakala penduduk lima kampung lain menolak untuk berpindah kerana sudah terbiasa dengan letusan gunung tersebut.

“Sehingga pagi semalam, seramai 517 penduduk dari kampung paling dekat dengan gunung itu telah dipindahkan. Namun, penduduk kampung lain tetap menjalankan aktiviti harian seperti biasa meskipun trak pemindahan bersedia untuk membawa mereka ke kawasan selamat,” katanya.

Penduduk Kampung Todoke, Milka Sehe, 43, berkata, mereka sudah biasa dengan letusan Gunung Ibu dan tiada sebarang kesan besar terhadap kampung mereka setakat ini.

“Kami tidak mahu dipindahkan kerana gunung ini memang sering meletus, tetapi ia tidak menjejaskan kami,” ujarnya.

Sementara itu, Irfan berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pemimpin tempatan bagi memastikan penduduk lima kampung yang berada dalam zon larangan dapat dipindahkan.

Gunung Ibu yang menunjukkan peningkatan aktiviti sejak Jun lalu terus meletus beberapa kali pada Khamis dengan asap tebal setinggi 400 meter menutupi puncaknya dan dalam dua minggu pertama Januari sahaja, ia meletus sekurang-kurangnya sembilan kali.

Penduduk dan pelancong dinasihatkan supaya mengelak kawasan larangan serta menggunakan pelitup muka bagi melindungi diri daripada debu gunung berapi.

Indonesia yang terletak di Lingkaran Api Pasifik kerap dilanda gempa bumi dan letusan gunung berapi.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya