Penduduk dakwa nampak lelaki simbah minyak pada motor - Utusan Malaysia

Penduduk dakwa nampak lelaki simbah minyak pada motor

AMIR Hamzah menunjukkan motosikal anaknya yang kini disimpan dalam rumah selepas pernah disimbah minyak tanah oleh seorang lelaki bertopeng di Kampung Tiak, Kupang, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Penduduk Kampung Tiak, Kupang mendakwa ternampak kelibat seorang lelaki bertopeng melarikan diri selepas menyimbah minyak tanah ke atas sebuah motosikal di situ

Amir Hamzah, 46, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11 malam, 5 Januari lalu ketika dua anak lelakinya baru pulang dari lokasi kemalangan di Kupang.

“Setelah kedua-dua mereka masuk ke dalam rumah, anak saya Muhammad Izzat, 19, mahu keluar semula untuk mengambil barangnya yang tertinggal di luar manakala adiknya Muhammad Akif, 17, terus masuk ke dalam bilik.

“Tiba-tiba, dia terdengar bunyi sesuatu terjatuh di luar rumah dan melalui lubang tingkap dia nampak kelibat lelaki melarikan diri dalam keadaan tergopoh-gapah, dia cuba panggil adik serta jiran untuk kejar suspek namun tak sempat,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, anaknya kemudian memeriksa motosikal dan mendapati ia sudah disimbah minyak tanah selain terdapat botol yang tidak sempat diambil
suspek.

“Sekiranya motosikal terbakar, mungkin rumah juga akan terbakar seperti kejadian di kampung-kampung lain, syukur anak selamat kerana ketika kejadian, saya dan isteri berada di Pulau Pinang.

“Motosikal itu kami terpaksa simpan dalam rumah kerana bimbang kejadian sama berulang, malah penduduk di kampung ini turut melakukakan rondaan setiap malam,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Zabadil Bahri Ismail, berkata, selepas kejadian itu, penduduk mendakwa ternampak lagi kelibat seorang lelaki di kampung itu pada malam berikutnya.

“Jika diikutkan telahan kami, suspek mungkin tahu selok belok jalan di sini, walaupun kami melakukan rondaan dan berkawal di empat lokasi jalan utama masuk ke kampung tapi mereka tetap lolos,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya