Pendapatan Prasarana naik lima peratus pada 2024 - Utusan Malaysia

Pendapatan Prasarana naik lima peratus pada 2024

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus mempergiatkan usaha untuk mempelbagaikan sumber pendapatan melalui segmen perniagaan selain daripada penjualan tiket perkhidmatan pengangkutan awam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha itu membuahkan hasil apabila Prasarana berjaya merekodkan lonjakan pendapatan sebanyak lima peratus pada 2024 daripada hasill pelbagai inisiatif yang dilaksanakan.

Katanya, pertumbuhan positif ini dijangka berterusan pada tahun ini terutama dengan pembukaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Shah Alam yang dijadualkan pada suku ketiga tahun ini.

“Namun, pendapatan tidak menunjukkan peningkatan ketara kerana harga tambang kekal sama dan kebanyakan pengguna menggunakan pas My50.

“Peningkatan lima peratus ini juga sebenarnya disokong oleh peningkatan jumlah penumpang,” katanya pada Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024, di sini hari ini.

Anthony berkata, Prasarana diarahkan untuk meneroka segmen perniagaan bukan tiket termasuk peruncitan, pengiklanan, teknologi dan operasi hartanah seperti Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD).

“Prasarana kini memberi tumpuan kepada TOD dengan memanfaatkan tanah di bawah projek tersebut untuk menjana pendapatan tambahan,” katanya.

“Syarikat ini juga sedang aktif menjana pendapatan melalui pengiklanan termasuk hak penamaan stesen,” katanya.

Anthony berkata, walaupun operasi Prasarana masih menerima subsidi tinggi daripada kerajaan, tetapi komitmen terhadap penyelenggaraan tetap menjadi keutamaan.

“Perbelanjaan penyelenggaraan Prasarana bagi 2024 meningkat kepada RM177 juta berbanding RM89 juta pada dua tahun lalu.

“Ini menunjukkan komitmen kami untuk memastikan perkhidmatan berkualiti kepada pengguna,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya