Pencemaran Sungai Gong: Lima tertuduh dibebas - Utusan Malaysia

Pencemaran Sungai Gong: Lima tertuduh dibebas

Lima lelaki termasuk empat beradik ketika hadir bagi pendengaran keputusan atas dua pertuduhan berhubung pencemaran air di kawasan perindustrian Sungai Gong, Rawang di Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen Selayang hari ini melepaskan dan membebaskan empat ahli lembaga pengarah bersama seorang pengurus kilang bagi pertuduhan melepas dan melupuskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke Sungai Gong, Rawang pada tahun 2019.

Lima individu itu iaitu empat pengarah sebuah syarikat yang juga merupakan adik-beradik, Yip Kok Wai, 58, Yip Kok Mun, 63, Yip Kok Kuin ,55, dan Yip Kok Weng, 65, serta seorang pengurus bagi syarikat yang sama, Ho Voon Leong, 64.

Hakim Nor Rajiah Mat Zin memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Selepas mendengar dan membuat penilaian secara maksimum mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh atas dua pertuduhan itu.

Oleh yang demikian, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” katanya.

Pada tahun 2020, kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan melakukan khianat dan melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya ke dalam alur air yang menyebabkan gangguan bekalan air membabitkan lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

Ketika membacakan keputusannya, Nor Rajiah berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kesemua tertuduh berada di premis Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. semasa kejadian jenayah dilakukan antara 2 dan 3 September 2019.

Bagi alasan kedua, mahkamah mendapati bahan buangan yang didakwa mengandungi bahan berbahaya gagal dikenalpasti oleh pihak pendakwaan.

“Menurut laporan kimia, wujud sesuatu komponen bagi ketujuh-tujuh sampel yang telah dihantar ke Jabatan Kimia.

“Bagaimanapun, pihak pendakwaan telah gagal untuk memastikan komponen tersebut sebagai bahan berbahaya,” katanya.

Pihak pendakwaan juga gagal untuk menampilkan saksi untuk membuktikan bahawa komponen-komponen itu adalah bahan berbahaya.

Seterusnya, Nor Rajiah menyatakan, sampel pertama hingga ketujuh yang dihantar ke Jabatan Kimia tidak mempunyai bahan yang tersenarai dalam senarai bahan berbahaya.

Selain itu, mahkamah menyatakan pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh bagi bahan yang dikeluarkan dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang adalah sebab dan akibat kepada penutupan keempat-empat LRA itu.

Sehubungan itu, selepas melepaskan dan membebaskan kesemua tertuduh, mahkamah turut memerintah untuk mengembalikan wang jaminan RM400,000 dan pasport bagi setiap tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim manakala peguam-peguam bela, Datuk M. Redza Hassan dan Abdul Rashid Ismail mewakili kelima-lima tertuduh.

Pada tahun 2020, kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dengan niat bersama melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. dilupuskan ke dalam alur air.

Bahan buangan tersebut kemudiannya, mengalir ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.

Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 September 2019.

Perbuatan tersebut didakwa mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, kelima-lima tertuduh dengan niat bersama didakwa telah melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam alur air yang akan mengalir ke sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa sama.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 3 September 2019, berlaku pencemaran minyak dari kilang berkenaan yang telah menyebabkan empat LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang menghentikan operasi.

Masalah ini, sekali gus mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan kira-kira lima juta pengguna di 1,292 kawasan di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya