KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membayar ganti rugi RM1.4 juta yang perlu dibayar kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang merupakan syarat penangguhan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi di sini sebelum ini.
Pada Disember tahun lalu, Hakim Roz Mawar Rozain memberikan penangguhan bersyarat terhadap Muhyiddin dengan kos RM5,000 dan memerintahkan beliau membayar RM400,000 pada 31 Dis 2024 serta baki RM1.02 juta pada 27 Januari 2025.
Peguam, Guok Ngek Siok mewakili Guan Eng ketika dihubungi media hari ini memberitahu, Muhyiddin telah mendepositkan jumlah itu termasuk kos sebanyak RM50,000 ke dalam akaun firma guaman, semalam.
“Tan Sri (Muhyiddin) sudah bayar RM1 juta ke akaun pelanggan firma saya semalam. RM400,000 sudah dibayar bulan Disember. Ia sebagai syarat penggantungan penghakiman yang diperolehi Guan Eng terhadap Tan Sri Muhyiddin,” katanya.
Perkara itu turut disahkan peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin.
Pada 8 November lalu Hakim Roz Mawar mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada sebuah yayasan.
Hakim tersebut mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Mahkamah memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai.
Habis…