PETALING JAYA: Pemuda Pas menyatakan komitmennya untuk turut serta dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini.
Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi berkata, himpunan tersebut merupakan satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah antara ‘tiang seri’ demokrasi serta komponen utama proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah.
“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Himpunan Rakyat Benci Rasuah pada Sabtu ini tetap diteruskan walaupun pihak polis melarang penganjuran himpunan tersebut.
Sekretariatnya menerusi kenyataan menyifatkan, sekatan itu mengkhianati hak rakyat untuk berhimpun dan mencabuli nilai reformasi seperti diperjuangkan kerajaan.
Sebelum ini, polis mengesahkan pihaknya menerima notis pemberitahuan berhubung penganjuran Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang akan diadakan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, bagaimanapun notis berkenaan tidak lengkap kerana tidak disertakan dokumen persetujuan daripada pemilik atau penghuni lokasi perhimpunan seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
“Pada Jumaat lalu, respons terhadap notis tersebut diberikan kepada pihak penganjur supaya memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Nadzir berkata, himpunan yang melibatkan sokongan daripada pembangkang dan rakyat adalah cerminan sifat responsif dan konstruktif semua pihak demi Malaysia yang lebih cemerlang.
Jelasnya, hal itu adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali menyatakan pendirian bahawa kerajaan sentiasa terbuka kepada sebarang kritikan dan cadangan untuk kebaikan negara.
“Himpunan ini juga bukan sekadar hak demokratik tetapi juga salah satu mekanisme untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terhadap isu rasuah yang semakin berleluasa di negara ini,” katanya.
Tambahnya, Pemuda Pas menuntut agar kerajaan bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tanpa sebarang gangguan atau sekatan yang tidak munasabah.
“Selain itu, Pemuda Pas juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk turun beramai-ramai menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah sebagai tanda solidariti menolak rasuah dan menuntut pentadbiran yang bersih serta telus,” jelasnya.