JOHOR BAHRU: Kekurangan diri tidak menghalang seorang murid yang menghadapi masalah penglihatan dinobatkan pemenang Ikon Murid dan Keluarga.
Muhammad Ilman Hafiy Mohd Noor Hafizan 12 , murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth yang juga Ketua Pengawas sekolah dianugerahkan Ikon Murid dan Keluarga melalui Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC) baru-baru ini.
Ilman Hafiy yang menghadapi masalah penglihatan berjaya membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuknya berjaya merangkul gelaran tersebut.
Menurutnya, amalan yang diamalkan di sekolah seperti menutup suis elektrik sekiranya tidak digunakan dan tidak membazirkan kegunaan air dengan menutup paip air.
“Selaku ketua pengawas saya akan menegur setiap murid sekiranya mereka membazir elektrik atau tidak menutup paip air dengan betul.
“Saya juga memastikan air di kolam ikan digunakan untuk menyiram pokok supaya tidak membazir dan boleh menjimatkan bil bayaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut anak pasangan kepada Mohd Noor Hafizan Ahmad Jais dan Nor Ilyana Abu Bakar, segala amalan yang dibuat disekolah turut dipraktikkan di rumah supaya dengan cara ini dapat mengurangkan penjimatan elektrik dan air.
“Ini merupakan gaya hidup rendah karbon iaitu penjimatan air, elektrik dan pengumpulan 3R boleh dilakukan. Kena ada kesedaran untuk menyelamatkan bumi walaupun bukan mudah,” jelasnya.
Anak sulung dari dua beradik turut dianugerah Tokoh Nilam peringkat Kebangsaan bagi kategori keupayaan penglihatan tahun 2024 kerana berjaya membaca sebanyak 118 buku sejak berumur sembilan tahun.