KIMANIS: Seorang pekerja kontraktor maut terkena renjatan elektrik semasa melakukan kerja-kerja pemasangan talian internet di Kampung Sinolo, Jalan Bambangan, Membakut semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun itu disahkan meninggal dunia di hospital.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Mohd. Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 4.20 petang dan sepasukan lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 28 kilometer dari BBP.
Sebaik sahaja tiba di lokasi, rakan mangsa memberitahu mangsa yang terkena renjatan elektrik semasa sedang memasang talian internet di tiang elektrik.
“Mangsa telah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan bomba. Mangsa disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor bertugas,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, setelah memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada pukul 5.12 petang.