Pejalan kaki antara dua maut dalam kemalangan di Kota Kinabalu - Utusan Malaysia

Pejalan kaki antara dua maut dalam kemalangan di Kota Kinabalu

MANGSA kemalangan maut di Plaza Alam Mesra, Jalan One Borneo di Kota Kinabalu, di sini semalam-IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pejalan kaki antara dua mangsa maut dalam kemalangan jalan raya yang berlaku berhampiran Plaza Alam Mesra, Jalan One Borneo, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, pejalan kaki berusia 40-an dan penunggang motosikal berusia 20-an yang dipercayai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang oleh seorang lelaki berusia 20-an bersama pemboncengnya dipercayai datang daripada arah Jalan Sepanggar yang sedang menuju ke pusat bandar Kota Kinabalu dengan menggunakan lorong tengah jalan raya.

“Apabila sampai di lokasi kejadian secara tiba-tiba seorang pejalan kaki berlari melintas jalan dipercayai untuk menuju ke rumah sewa di Kg Penampang Laut di seberang jalan.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal tersebut tidak sempat untuk mengelak lalu terlanggar pejalan kaki.

“Perlanggaran itu menyebabkan penunggang bersama pembonceng serta motosikalnya terbabas ke hadapan sejauh tujuh meter,” katanya dalam satu kenyataan.

Kasim berkata, akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal dan pejalan kaki tersebut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Sementara itu, pembonceng pula mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

Berdasarkan siasatan, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pejalan kaki ketika melintas jalan biarpun terdapat jejantas berhampiran kawasan berkenaan.

Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya