PUTRAJAYA: Kerajaan mencadangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya menggunakan spektrum khusus 5G bagi kegunaan organisasi itu untuk tujuan penguatkuasaan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, spektrum itu pastinya lebih selamat dan khusus bagi rangkaian 5G tempatan.
Beliau berkata, perkara (cadangan) ini bukan hanya ditawarkan untuk PDRM sahaja sebaliknya untuk industri dan organisasi.
“Ini adalah sesuatu yang sedang dibincangkan dalam kalangan industri. Ia bermaksud jalur lebar (spektrum) berkenaan diperuntukkan khas untuk organisasi itu sahaja.
“(Bagi PDRM), ia tidak semestinya hanya untuk penguatkuasaan undang-undang. Ia juga boleh digunakan untuk mana-mana industri atau syarikat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menjadi panel pada forum “Mengukuhkan Masa Depan: Memanfaatkan Teknologi 5G untuk Memperkukuh Keselamatan Negara” sempena Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25) di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya tidak memaksa atau menggesa organisasi itu untuk menerima cadangan itu sebaliknya terpulang untuk pertimbangan.
Fahmi berkata, pihaknya akui terdapat permintaan daripada industri yang mahu memanfaatkan rangkaian khusus 5G ini.
“Beberapa pendekatan telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan mengkaji sebahagian spektrum rangkaian yang selamat untuk agensi seperti PDRM supaya ia boleh direalisasikan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, pihaknya kini sedang berusaha memastikan rangkaian jalur lebar di negara dapat diakses oleh semua rakyat namun, pada masa sama ia selamat untuk digunakan.
“Apabila kita bawa kesalinghubungan jalur lebar ke kampung-kampung, kita dapati antara aplikasi dan laman web paling awal diakses adalah berkaitan bahan lucah dan judi dalam talian.
“Justeru, adalah penting untuk kita mengimbangi antara akses dan keselamatan. Ia (kesedaran) boleh ditingkatkan menerusi kempen kesedaran di peringkat komuniti dan pedalaman,” katanya. – UTUSAN