Pasukan angkat Perlis tekad terus lakar kegemilangan di Sukma 2026 - Utusan Malaysia

Pasukan angkat Perlis tekad terus lakar kegemilangan di Sukma 2026

MOHD Faiz Musa (kiri) membuat penerangan sewaktu Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Angkat Berat daripada Abata di Dewan Angkat Berat MSN, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pasukan angkat berat negeri yang menjadi taruhan antara lubuk emas untuk Perlis terus melakukan persiapan dan giat menjalani latihan untuk tampil lebih cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Presiden Persatuan Angkat Berat negeri, Mohd Faiz Musa berkata, selain ingin mempertahankan kejuaraan keseluruhan, kem angkat berat juga ingin meneruskan kecemerlangan memecahkan rekod kebangsaan.

“Selain atlet sedia ada, kita juga mempunyai 10 atlet yang sedang dalam rangka persediaan untuk dijadikan sandaran dalam temasya Sukma 2026 nanti,” katanya selepas menerima sumbangan peralatan angkat berat daripada Pertubuhan Abata Sukan Rekreasi (Abata) yang disampaikan oleh penaungnya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya di sini, semalam.

Pada temasya Sukma 2024 di Sarawak, kem angkat berat Perlis melakar sejarah tersendiri apabila meraih juara keseluruhan dalam sukan berkenaan dengan kutipan empat pingat emas, dua perak dan dua gangsa.

Selain itu, badang Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin turut mencetuskan sensasi apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram lelaki.

Sementara itu, Mohd. Faiz memberitahu, Perlis bakal menjadi tuan rumah penganjuran Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan yang bakal berlangsung April depan.

Katanya, buat masa ini, penganjuran itu telah dimasukkan ke dalam takwim kejohanan dan akan dibincangkan di peringkat Mesyuarat Exco kerajaan negeri.

Ujarnya, pemilihan penganjuran pada bulan April juga adalah bertepatan dengan ketibaan musim mempelam harumanis yang sememangnya ikonik dengan negeri ini.

“Selain menyaksikan kejohanan ini, pengunjung luar yang datang juga boleh menikmati buah mempelam harumanis sekali gus mempromosikan negeri ini bersempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya