TUMPAT: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan menahan pasangan suami isteri selepas dipercayai membawa 539,400 batang rokok seludup untuk kegunaan pekerja di tapak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam serbuan di Kampung Belimbing, Tanah Merah dekat sini pada 12 Januari lalu.
Pasangan suami isteri berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 11 pagi hasil intipan dan risikan yang dilakukan lebih seminggu oleh penguat kuasa JKDM Kelantan.
Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori tersebut telah menjumpai 539,400 batang rokok dianggarkan bernilai RM102,486.
Menurutnya, hasil siasatan pasangan suami isteri itu mengaku mengambil upah membawa rokok-rokok tersebut dengan bayaran RM600 untuk satu trip perjalanan.
“Kedua-dua mereka direman selama 10 hari bermula 13 hingga 22 Januari untuk siasatan lanjut. Lelaki yang merupakan suami kepada wanita berkenaan seorang pemandu lori dan telah membawa barangan dari Lembah Klang untuk dihantar ke negeri ini.
“Sebaik sahaja tugasnya di sini selesai, untuk pulang ke semula ke Lembah Klang, suspek telah mengambil upah membawa rokok seludup. Semasa ditahan, suspek bersama isterinya,” katanya kepada pemberita semasa sidang media di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JKDM Cawangan Pengkalan Kubur di sini hari ini.
Wan Jamal Abdul Salam memberitahu, JDKM Kelantan percaya rokok-rokok dari China itu telah dibawa masuk ke negeri ini dari negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat disepanjang Sungai Golok.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai dan lori dianggarkan berjumlah RM648,738.
“Jadi kami (JKDM Kelantan) menyeru orang ramai untuk terus memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan,” ujanrya.-UTUSAN