PETALING JAYA: Pengguna pengangkutan awam kini boleh memperbaharui pas perjalanan tanpa had My50 menggunakan aplikasi e-dompet bermula Mei ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan pengguna dan mengurangkan kesesakan di kaunter Transit Aliran Ringan (LRT) khususnya di stesen LRT Pasar Seni dan LRT Abdullah Hukum.
“Pengguna masih boleh memperbaharui pas di semua kaunter LRT, tetapi melalui aplikasi e-dompet, proses ini menjadi lebih pantas dan efisien,” katanya pada Pembentangan Laporan Prestasi Prasarana 2024, di sini hari ini.
Anthony berkata, kerajaan juga akan meneruskan subsidi pas My50 menerusi Belanjawan 2025 yang dijangka mampu menarik lebih ramai pengguna baharu.
“Setakat ini, purata penggunaan pas My50 mencecah 230,000 pengguna sebulan. Dengan harga hanya RM50, kerajaan menanggung baki subsidi sebanyak RM100 bagi setiap pas.
“Inisiatif ini seiring dengan usaha Prasarana untuk meningkatkan nisbah penggunaan pengangkutan awam kepada 40 peratus di Lembah Klang menjelang 2030,” katanya.
Anthony berkata, pembukaan 20 stesen pertama Laluan Shah Alam yang dijadualkan pada 30 September 2025 bakal mengubah landskap pengangkutan awam di kawasan tersebut.
Katanya, laluan ini akan memberi kemudahan kepada hampir dua juta pengguna dengan jajaran yang bermula dari Bandar Utama, melalui pusat bandar Shah Alam, Klang hingga ke Johan Setia.
“Pengoperasian penuh laluan tersebut termasuk lima stesen tambahan pada 31 Disember 2028 dijangka memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap pengangkutan awam sebagai pilihan utama untuk perjalanan harian.
“Langkah ini dijangka mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat, menjimatkan masa perjalanan dan menyokong pembangunan mampan negara,” katanya.