Pameran Manifestasi Dua Seni terjemah karya agung sastera ke dalam kanvas - Utusan Malaysia

Pameran Manifestasi Dua Seni terjemah karya agung sastera ke dalam kanvas

YAAKOB Abd Aziz (tiga dari kanan) menunjukkan salah satu karya yang dipamerkan kepada pengunjung bersempena pameran Manifestasi Dua Seni Karya Agung Sastera 2024 di Galeri Seni Lukis negeri, Simpang Empat, Perlis semalam.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pameran Manifestasi Dua Seni Karya Agung Sastera 2024 menghimpunkan 36 karya hasil sentuhan para pelukis negeri ini yang menterjemah karya-karya agung sastera ke dalam kanvas dengan penuh kreativiti.

Pameran anjuran Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam negeri, Balai Seni Negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Galeri Seni Lukis Negeri Perlis itu berlangsung dari 11 Januari sehingga 30 Jun di Galeri Seni Lukis negeri, Simpang Empat di sini.

Pada 11 Januari lalu, majlis perasmian pameran berkenaan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Pameran Manifestasi Dua Seni cukup unik apabila karya-karya sastera agung seperti novel, puisi serta sajak itu ‘dibedah’ seterusnya disampaikan melalui mesej-mesej tersurat dan tersirat ke dalam bentuk visual di dalam kanvas oleh para pelukis tersebut.

Antara lukisan yang menarik perhatian adalah seperti sentuhan lukisan oleh Rosli Mat, yang bertajuk Penggesek Biola Buta diadaptasi dari sajak karya Nahmar Jamal.

Begitu juga lukisan bertajuk Aku Telah Pulang diispirasikan dari puisi Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari yang dihasilkan Yaakob Abd. Aziz juga merupakan Pengerusi Persatuan Pelukis Negeri Perlis (PPNPs) serta karya Belantara hasil garapan pelukis, Jamaluddin Abd. Rahman cukup melekat di jiwa.

Yaakob berkata, pameran tersebut menampilkan seramai 36 pelukis yang menghasilkan karya diinspirasikan daripada karya-karya sastera agung di negara ini.

“Menerusi pameran ini, ia memberi ruang dan penghargaan buat pelukis untuk mengadaptasi karya-karya sastera agung ke atas kanvas 2D.

“Pelukis-pelukis ini mengambil masa hanya sekitar sebulan bagi memasukkan elemen daripada karya sastera agung antaranya dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Rahman Shaari dan beberapa penulis terkenal seperti Rejab F.I, Nazel Hashim Mohamad serta banyak lagi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Yaakob, sebelum menghasilkan karya, setiap pelukis perlu membedah karya sastera tersebut terlebih dahulu bagi mengenalpasti elemen menarik yang boleh ditonjolkan.

Ujarnya, PPNPs turut menganjurkan siri bengkel sebagai rangka persediaan bagi penghasilan karya lukisan yang berkualiti bersempena pameran tersebut.

“Selain dibuka untuk pameran, lukisan-lukisan yang dihasilkan itu juga boleh dibeli pada harga amat berpatutan iaitu di bawah RM2,000. Penganjuran pameran itu juga merupakan salah satu usaha bagi menarik pengunjung luar dalam mempromosikan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN