Pahang rekod 31 kelahiran bayi tahun baharu 2025 - Utusan Malaysia

Pahang rekod 31 kelahiran bayi tahun baharu 2025

SERAMAI 31 bayi tahun baharu 2025 dicatatkan di Pahang dengan Kuantan daerah tertinggi membabitkan 10 kelahiran di HTAA di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 31 bayi tahun baharu 2025 dilahirkan di hospital seluruh negeri ini bermula pukul 12 tengah malam sehingga 5 petang ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, daripada jumlah tersebut, 16 bayi lelaki dan 15 bayi perempuan.

“Seramai 25 bayi dilahirkan secara normal dan enam yang melalui kaedah pembedahan. Daripada 31 bayi tahun baharu ini, 22 merupakan bayi Melayu, tiga anak Orang Asli, dua Cina, seorang India dan tiga dalam kategori lain-lain kaum.

“Daripada jumlah itu juga, 14 bayi dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan termasuk sepasang bayi kembar. Sembilan bayi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh, masing-masing dua di Hospital Bentong, Pekan dan Lipis, manakala Hospital Raub dan Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands masing-masing satu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Rusdi berkata, bayi tahun baharu 2025 pertama dilahirkan pukul 12.12 pagi di HTAA.

“Bayi terbabit merupakan bayi lelaki Melayu seberat 2.85 kilogram (kg). Bayi bertuah ini merupakan anak ketiga pasangan dari Kempadang di sini dan dilahirkan melalui kaedah bersalin secara normal,” katanya.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada ibu dan bapa yang menyambut kelahiran anak mereka pada hari pertama tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN