Ops Tahun Baharu Cina 2025: JPJ keluar 22,252 notis, 100,534 kenderaan diperiksa - Utusan Malaysia

Ops Tahun Baharu Cina 2025: JPJ keluar 22,252 notis, 100,534 kenderaan diperiksa

AEDY FADHLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 22,252 notis membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan dan pemandu yang didapati gagal mematuhi peraturan-peraturan ditetapkan dalam tempoh seminggu Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 di seluruh negara bermula 20 Januari lalu.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, sebanyak 100,534 kenderaan diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 223 kenderaan disita.

“Berdasarkan ops itu, pihak JPJ mengesan kenderaan-kenderaan gagal mematuhi peraturan ditetapkan dan memfokuskan kepada sembilan kesalahan utama.

“Kesalahan ketiadaan CDL (lesen memandu kompeten) mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu sebanyak 4,313 notis dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke JPJ Negeri Pahang di sini hari ini.

Menurut Aedy Fadly, Larangan Pemanduan Ke Atas Kenderaan Barangan (Road-Ban) bersempena Tahun Baharu Cina 2025 dikuatkuasakan selama empat hari bermula pada 27 dan 28 Januari dan l pada 1 dan 2 Februari depan.

“Pihak JPJ juga ingin mengingatkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan tersebut dan sekiranya terdapat kenderaan yang gagal mematuhi Kaedah 2 (1), Kaedah- kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan) 2025, akan diambil tindakan di bawah Seksyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kompaun RM300 atau denda di mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika sabit kesalahan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN