PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya seramai 20 pegawai bank akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat ini bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya diijangka memanggil antara 15 hingga 20 pegawai bank untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes ini.
“Susulan penahanan empat lagi pegawai bank kelmarin, SPRM akan meneliti data-data berkaitan permohonan pinjaman daripada sistem perbankan bagi membantu siasatan.
“Selain daripada itu, pihak SPRM dalam proses mendapatkan dokumentasi pinjaman daripada institusi perbankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan empat lagi pegawai bank semalam bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.
Azam berkata, seramai tujuh daripada 12 orang yang direman lima hari sebelum ini akan dibebaskan manakala lima lagi orang akan dimohon untuk sambung reman.
Penahanan itu menjadikan tangkapan keseluruhan adalah seramai 16 orang.
Akhbar ini melaporkan pegawai yang menguruskan pinjaman bernilai RM700 juta kepada penjawat awam akan menerima komisen 0.5 peratus sehingga satu peratus selain menerima RM5,000 bagi satu kes pinjaman.
Azam dilaporkan berkata, sebanyak 4,000 dokumen dirampas manakala 16 individu membabitkan pegawai bank dan syarikat perundingan akan dipanggil dan kemungkinan ditahan dalam kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan organisasi perunding kewangan.
Menurutnya, setakat ini sebanyak 4,000 dokumen sudah dirampas dan dalam proses siasatan.
SPRM mendapati sejumlah RM700 juta pinjaman sudah diluluskan kepada 4,000 penjawat awam di mana, pinjaman yang diluluskan itu daripada pelbagai bank sejak syarikat berkenaan beroperasi tahun 2020.