KUALA LANGAT: Selangor membuat semakan terhadap pelaksanaan dasar amalan baik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pelan pusat sehenti (OSC) 3.0 PLUS bagi mempercepat pelbagai proses kelulusan termasuk urusan kemasukan pelabur.
Semakan tersebut termasuk menilai kelulusan kebenaran merancang (KM) yang sebelum ini mengambil masa antara tiga setengah hingga enam bulan dengan mempercepat proses tersebut kepada 14 hari bertepatan dengan dasar Lembah Klang Raya Selangor (SGKV).
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, garis panduan baharu dibincang dan dirancang menerusi Sesi Libat Urus Penyelarasan dan Penyeragaman Amalan Baik PBT (SGKV).
Menurutnya, dasar tersebut diteliti dan penerbitan serta pelaksanaan garis panduan itu dijangka akan dibuat pada Jun ini.
“Maka dengan itu, kita hendak pastikan dengan harapan dan hasrat Menteri Besar, iaitu Speed Selangor. Kita hendak bantu pastikan semua pelabur tak perlu sampai dua atau tiga tahun baru nampak kilang. Kalau boleh, setahun sudah boleh bina, proses tanah selesai dan sebagainya.
“Untuk kali ini, kita adakan bengkel ini dua hari satu malam, kita panggil semua pejabat tanah, PBT, jabatan-jabatan berkaitan, duduk bersama berbincang apa masalah yang menyebabkan kita tak boleh selesaikan. Saya yakin pasti ada jalan,” katanya ketika ditemui pada program itu, hari ini.
Jelas Suee Lim, terdapat 12 perkara digariskan dalam perbincangan tersebut untuk memperkasakan OSC 3.0 PLUS berbanding amalan biasa yang diguna pakai sebelum ini.
Selain itu, beliau memaklumkan terdapat PBT di negeri ini mempunyai garis panduan tersendiri dalam memproses permohonan KM seperti Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang mempunyai dasar ‘Fastrack’.
“Kita juga bincang, kalau MBDK ada fastrack memang terbaik dan boleh dijadikan contoh kita akan syorkan, mana yang terbaik. Bukan sahaja Klang, kalau Subang, Shah Alam pun ada kaedah yang terbukti membantu dan cepat, kita akan guna pakai dan panjangkan untuk semua.
“Kita cuba selaras dan laksanakan OSC 3.0 PLUS pada tahun ini, kita cuba siapkan,” ujarnya. – UTUSAN