SUNGAI SIPUT: Golongan warga emas yang sudah bergelar nenek merupakan antara penduduk di Kampung Jaya Setia di sini, yang membangunkan perusahaan kerepek secara bersama untuk menambahkan pendapatan.
Mereka sebahagian daripada 18 orang yang memulakan aktiviti tersebut sejak November lalu dengan menghasilkan kerepek seperti Muruku Karang Pulut, Kerepek Halia, Kacang Peas, Kerepek Labu dan Kuih Tiram.
Pengurus Operasi JS Licious, Nor Hayati Abdul Karim berkata, usaha itu berjaya mencatatkan jualan lebih RM3,000 semasa bulan pertama dan RM5,000 pada Disember.
Jelasnya, kebanyakan mereka terdiri daripada suri rumah dan ibu tunggal yang tiada punca pendapatan atau pekerjaan tetap.
“Sebelum ini, ada mereka yang hanya menghasilkan produk di rumah dan berniaga secara bersendirian. Maka kami mengajak mereka menyertai projek ini, melaluinya pendapatan mereka boleh bertambah,” katanya baru-baru ini.
Kata Nor Hayati, operasi pengeluaran produk dilakukan di Dewan Kampung Jaya Setia yang diubah suai menjadi bengkel JS Licious.
Mereka bercadang mahu meluaskan pasaran termasuk menempatkan produk di rangkaian stesen-stesen minyak selain pemasaran di media sosial dan platform dagang dalam talian.
“Malah kami meletakkan harapan supaya produk ini dapat bersaing di peringkat nasional dan seterusnya berkembang ke pasaran Asia Tenggara,” katanya.
Perusahaan itu dijayakan hasil peruntukan RM100,000 menerusi program Sejati Madani yang dibelanjakan bagi kerja-kerja pengubahsuaian bengkel, pembelian peralatan pengeluaran dan barangan keperluan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jaya Setia, Ebby Shaifullah Yussof berkata, projek tersebut telah memberi impak besar buat mereka di kampung itu yang terletak kira-kira 10 kilometer pendalaman dari pekan utama Sungai Siput.-UTUSAN.