Negeri Sembilan mohon hospital awam baharu di Seremban

Negeri Sembilan mohon hospital awam baharu di Seremban

AMINUDDIN HARUN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan telah membuat permohonan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pembinaan sebuah lagi hospital awam baharu bagi memenuhi keperluan penduduk di daerah ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu diharapkan dapat diberikan keutamaan oleh KKM mengambil kira kesesakan yang berlaku di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) ketika ini.

“Kerajaan negeri maklum mengenai kesesakan yang berlaku di HTJS ditambah pula dengan kerja-kerja naik taraf yang sedang dilaksanakan di wad kecemasan dan wad biasa hospital itu.

“Hasrat yang sama telah pun disebut semasa persidangan di Dewan Rakyat lepas, selain memaklumkan sendiri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu program Kementerian Kesihatan di Port Dickson tahun lepas,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Dalam perkara ini, Aminuddin memberitahu, beliau juga telahpun berhubung dengan Menteri Kesihatan untuk memaklumkan situasi yang berlaku di HTJS khususnya di wad kecemasan. 

“Ada beberapa perkara juga telah dipindahkan ke Hospital Rembau, kalau ada kematian dan kalau nak buat bedah siasat juga buat dibuat di Hospital Rembau. Ini antaranya yang kita lakukan untuk kurangkan kesesakan di Hospital Seremban (HTJS),” katanya. 

Beliau menambah, dengan pembinaan Hospital Rembau dan pertambahan blok bangunan baharu di Hospital Kuala Pilah serta Port Dickson tidak lama lagi diharap ia dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di HTJS.

“Hospital Rembau telah pun siap dibina, Hospital Kuala Pilah pula bangunan tambahannya juga telah siap dan telah dapat kelulusan pengisian perjawatan di situ melibatkan lebih 1,000 perjawatan besar dan di situ terdapat klinik pakar,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya