JERANTUT: Pengguna Jalan Jerantut-Lipis mengalami kesukaran lebih 30 tahun berikutan kerap berlaku kejadian lori muatan berat gagal mendaki Bukit Mentimun dan Bukit Atap, berdekatan Kuala Tembeling, di sini.
Difahamkan, kejadian terbaharu berlaku pada pukul 3 pagi semalam membabitkan sebuah treler yang gagal mendaki Bukit Mentimun menyebabkan kenderaan berat itu mengundur dan melintang jalan.
Seorang pengguna jalan raya, Abdullah Hassan, 52, berkata, kerajaan Pusat sepatutnya sudah menaik taraf laluan di dua buah bukit tersebut.
“Setiap bulan berlaku tiga hingga empat kali kenderaan berat mengundur akibat gagal mendaki dan senario ini membahayakan keselamatan kenderaan kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Abdullah berkata, keadaan itu dialami oleh pengguna jalan raya dari kedua hala sejak lebih 30 tahun lalu termasuk banjir berlaku dua kali setahun melimpah di kawasan yang rendah sehingga mengakibatkan kenderaan terkandas.
Penduduk Kampung Mela, Lipis, Mohd. Saferi Salleh, 43, pula berkata, kejadian lori mengundur dan kawasan laluan rendah dilimpahi banjir setahun dua kali membimbangkan pengguna Jalan Persekutuan Lama, iaitu Jalan Jerantut-Lipis berdekatan Kuala Tembeling.
“Kejadian lori muatan berat gagal mendaki dan mengundur di kawasan berbukit antara yang kerap berlaku sehingga kadangkala lebih lima kali dalam tempoh sebulan ketika saya berulang-alik ke tempat kerja di bandar Jerantut,” katanya.
Dia berkata, apabila berlaku kejadian tersebut, pengguna jalan raya terkandas berjam-jam sebelum kenderaan berkenaan dialihkan.
Seorang lagi pengguna jalan raya dari Kuantan, Ihsan Murad, 40, berkata, dia yang berulang-alik ke Lipis pada hari cuti kerap bertemu kejadian kenderaan berat mengundur dari atas bukit dan melintang jalan.-UTUSAN.