Nahas di Melaka: Punca masalah gandar, sistem brek kanan lori

Nahas di Melaka: Punca masalah gandar, sistem brek kanan lori

Brek lori
MAHMOOD Razak Bahman ditemui pemberita dalam sidang akhbar, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masalah gandar dan sistem brek kanan depan lori dipercayai antara punca nahas ngeri mengorbankan tujuh nyawa termasuk lima sekeluarga di Kilometer 204, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, Melaka bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Mahmood Razak Bahman berkata, faktor itu diperoleh menerusi hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan pihaknya dan menyerahkannya kepada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut.

“Pemeriksaan mendapati gandar dan sistem brek kanan depan lori itu bermasalah dipercayai terbakar atau terlalu panas. Setakat ini, Puspakom belum menerima tayar lori yang tercabut itu untuk diperiksa namun kita telah serah laporan kepada pihak terlibat,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan nahas itu berpunca daripada tayar lori tercabut yang berada di lorong tengah laluan berkenaan.

Kemalangan pukul 8.45 malam itu melibatkan lima buah kenderaan termasuk bas persiaran yang membawa 27 penumpang, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima, lori, treler dan Perodua Bezza.

Lima mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian itu merupakan penumpang MPV selain seorang pemandu bas dan penumpangnya.

Siasatan polis mendapati nahas berlaku selepas tayar hadapan kanan lori dipercayai tercabut dan berada di lorong tengah lebuh raya sebelum dilanggar bas persiaran yang terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kenderaan.

Mengulas lanjut, kata Mahmood, lori yang diperbuat pada 2023 itu menjalani pemeriksaan awalan Puspakom pada 28 Mac tahun lalu.

“Justeru, kita musykil bagaimanana lori baharu seumpamanya mengalami masalah sedemikian. Namun, kita telah selesai memeriksa dan menyerahkan kepada MIROS untuk mengenal pasti punca sebenar,” jelasnya.

Tambah beliau, kira-kira lapan peratus kenderaan berat didapati gagal dalam pemeriksaan Puspakom setiap tahun.

“Secara purata, ia meliputi 220,000 daripada 2.8 juta kenderaan dan brek, tayar serta sistem kenderaan itu antara masalah utama yang dikesan. Bagi keadaan tayar, ia tidak semestinya tayar celup kerana mungkin mempunyai masalah lain selepas digunakan berkali-kali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya