MyCARE sambut baik gencatan senjata di Gaza, seru sokongan berterusan - Utusan Malaysia

MyCARE sambut baik gencatan senjata di Gaza, seru sokongan berterusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyambut baik pengumuman gencatan senjata di Gaza yang dijadual berkuat kuasa 19 Januari sebagai langkah penting menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah meragut ribuan nyawa.

Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Dr. Kamal Nasharuddin Mustapha berkata, pengumuman yang dimuktamadkan itu menyaksikan lebih 46,000 nyawa terkorban termasuk wanita dan kanak-kanak selain lebih 110,000 cedera akibat kekejaman rejim Zionis Israel.

Katanya, situasi tersebut turut menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan amat memerlukan bantuan segera, terutamanya dengan musim sejuk yang melanda ketika ini.

“Usaha gencatan senjata ini adalah perkembangan positif, namun ia tidak boleh berhenti di sini.

“Situasi di Gaza saban tahun semakin meruncing. Keperluan asas seperti makanan, perubatan dan tempat perlindungan amat mendesak terutamanya dengan musim sejuk dan Ramadan yang hanya tinggal dua bulan lagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Kamal berkata, MyCARE telah menggerakkan bantuan kemanusiaan ke Gaza sejak hari pertama genosid dan sehingga kini, lebih RM15 juta bantuan telah berjaya disalurkan melalui pejabat MyCARE di Gaza dengan kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, gencatan senjata membuka pintu sempadan bagi membolehkan sehingga 600 trak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza setiap hari.

“Bantuan ini merangkumi makanan, ubat-ubatan, dan khemah perlindungan yang amat diperlukan oleh penduduk Gaza khususnya yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan.

“Bagaimanapun, MyCARE mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis yang terus melancarkan pencerobohan, pembunuhan dan serangan ke atas penempatan awam yang hanya memburukkan lagi krisis kemanusiaan di wilayah itu.

“Apa yang Gaza perlukan sekarang bukan satu lagi provokasi atau perang tetapi pembebasan daripada sekatan yang telah menjerut kehidupan lebih 2 juta penduduk sejak 17 tahun lalu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya