MyAqsa bakal serah bukti kekejaman Israel kepada ICC

MyAqsa bakal serah bukti kekejaman Israel kepada ICC

Walid Abu Ali ketika sidang akhbar penyerahan laporan bukti jenayah kekejaman Israel di UIAM, Gombak, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Yayasan MyAqsa dan Kedutaan Negara Palestin menyerahkan laporan bukti jenayah kekejaman Israel terhadap Palestin yang akan dikemukan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali berkata, inisiatif ini merupakan yang pertama dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) khususnya usaha mengumpulkan bukti melalui lawatan lapangan ke Palestin termasuk Al-Quds, Wadi Al-Humus, Al-Isawiyah, Gaza dan Al-Khalil untuk mendapatkan bukti sebanyak mungkin.

Kata beliau, walaupun usaha ini sangat berisiko dan sukar dicapai, namun sebagai rakyat Palestin, inisiatif ini penting kepada semua usaha antarabangsa yang dilakukan oleh institusi-institusi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kami berharap semua bukti yang dikemukakan kepada ICC ini akan menjadi langkah tambahan untuk mendakwa pemimpin-pemimpin Israel yang bertanggungjawab atas jenayah kejam terhadap rakyat Palestin,” katanya ketika sidang akhbar penyerahan laporan bukti jenayah kekejaman di Palestin, di sini, semalam.

Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd Hisham Mohd Kamal berkata, bukti tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwaraya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada suatu tarikh yang ditetapkan.

Katanya, penyerahan ini merupakan hasil usaha penyelidikan intensif yang dijalankan oleh lima ahli akademik dari AIKOL dengan sokongan Yayasan MyAqsa.

“Yayasan MyAqsa menyediakan geran penyelidikan untuk membantu kumpulan penyelidik ini dalam mengumpul dan menganalisis bahan serta maklumat berkaitan genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.

“Saya bersama pasukan iaitu lima ahli akademik dari AIKOL UIAM serta tiga pelajar sarjana muda menyiapkan laporan lengkap yang mengenal pasti 110 individu sebagai pelaku jenayah, termasuk Ketua Negara Israel, menteri dan pegawai tentera Israel,” katanya.

Mohd Hisham berkata, penyelidikan ini menganalisis setiap bukti dengan teliti untuk membuktikan elemen-elemen jenayah, termasuk perbuatan genosid.

“Jenayah pencerobohan tidak dimasukkan dalam laporan sebab ICC tidak mempunyai bidang kuasa. Namun, Majlis Keselamatan PBB berpotensi merujuk situasi tersebut kepada ICC bagi tindakan lanjut,” ujarnya.

Pengerusi Yayasan MyAqsa, Suwardi Yaacob berkata, laporan hasil kajian yang dijalankan ini akan dibentangkan untuk menunjukkan betapa kejamnya rejim yang melanggar semua undang-undang antarabangsa.

“Saya sedia menggalas ama­nah ini dan laporan tersebut akan diserahkan kepada ICC dalam masa terdekat, Insya-Allah,” katanya.

Dekan AIKOL, Prof. Farid Sufian Shuaib pula berkata, penyerahan bukti ini melambangkan komitmen tegas Malaysia dalam mempertahankan hak asasi manusia sejagat dan memastikan keadilan bagi rakyat Palestin yang tertindas.

“Langkah ini dapat sokongan luas daripada antarabangsa dan diharap jadi dorongan kepada tindakan tegas kepada pelaku,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya