PETALING JAYA: Moody’s Ratings (Moody’s) mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan Stabil sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.
Penarafan itu juga menunjukkan negara ini kekal pada landasan dalam pembaharuan fiskal dalam ketidaktentuan yang menstrukturkan semula ekonomi global dan geopolitik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penarafan Moody’s merupakan pengiktirafan ke atas usaha berterusan Kerajaan Madani dalam memacu perubahan struktur berpandukan hala tuju dasar yang jelas dan komitmen tidak berbelah bahagi dalam piawaian tata kelola tinggi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi dan merangsang pertumbuhan serantau agar agenda pembaharuan dapat dimanfaatkan oleh semua rakyat Malaysia.
“Dalam tahun ini, Kerajaan Madani akan memesatkan pembaharuan fiskal dan ekonomi seperti yang digariskan di bawah Belanjawan 2025 di samping memberi keutamaan kepada pelaburan berkualiti untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta mempercepatkan pembangunan infrastruktur bersepadu bagi menyokong kepelbagaian ekonomi dan peluang baharu.
“Kerajaan juga akan mengambil kesempatan selaku Pengerusi ASEAN 2025 untuk menerajui blok ekonomi ini ke arah ketertiban ekonomi bersepadu yang sentiasa bekerjasama dan menggalakkan keberhasilan yang saling menguntungkan bagi rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memaklumkan, penarafan Moody’s itu menunjukkan Malaysia akan menjadi ekonomi berpenarafan A yang paling pesat berkembang dalam tempoh dua tahun yang akan datang.
“Malah penarafan itu menyatakan prospek pertumbuhan jangka sederhana Malaysia yang memberangsangkan.
“Agensi penarafan ini menjelaskan bahawa kekuatan struktur kredit negara mengambil kira antaranya kepelbagaian struktur ekonomi, daya saing dan kestabilan harga sebagai faktor yang menggalakkan perbelanjaan penggunaan, disokong oleh pasaran modal domestik yang kukuh dan sistem kewangan yang sofistikated,” kata Kementerian Kewangan.
Kata Kementerian Kewangan, Moody’s turut mengiktiraf sokongan politik yang utuh telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan institusi yang signifikan termasuk penggubalan Akta Kewangan Awam Dan Tanggungjawab Fiskal 2023 serta perundangan lain.
“Dalam hal ini, Kerajaan terus komited untuk menambah baik kewangan awam dengan memperkasakan usaha dalam meningkatkan hasil dan rasionalisasi subsidi,” katanya.
Berdasarkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2024 pada 4.8 peratus iaitu Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan di antara 4.8 hingga 5.3 peratus.
“Kerajaan optimis bahawa pertumbuhan ekonomi akan kekal teguh pada 2025, dengan unjuran antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
“Di samping itu, usaha konsolidasi fiskal akan terus menurunkan defisit, dijangka pada 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025 secara beransur selaras penetapan sasaran fiskal di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023,” katanya.-UTUSAN