JERANTUT: Sepasang suami isteri merayu bantuan berikutan anak mereka terlantar hampir enam bulan akibat kemalangan di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini.
Adnan Ali, 61, berkata, anaknya, Muhamad Bahaman, 16, cedera parah di bahagian kepala termasuk anggota badannya yang lain selepas terlibat kemalangan pada September tahun lalu di kawasan Felda tersebut.
“Anak saya juga mengalami patah tulang paha kanan, tangan kiri serta mengalami kecederaan teruk di bahagian paru-paru dan usus menyebabkan dia koma. Cuma kadangkala mampu bergerak di hujung jari kaki sahaja.
“Selepas kejadian, dia dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan doktor mengesahkan kecederaan parah bahagian kepala serta serta mendapatkan rawatan selama sebulan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Felda Kota Gelanggi Dua, semalam.
Menurut Adnan, dia dan isteri, Siti Mariam Mohd. Zain, 51, bergilir-gilir menjaga anak kelapan daripada sembilan beradik itu di wad hospital dalam tempoh rawatan sehingga dibenarkan pulang ke rumah pada Oktober tahun lalu.
“Setelah hampir dua bulan di rumah, sekali lagi, anak saya dihantar ke Hoshas awal Disember tahun lalu kerana sukar menerima makanan menerusi saluran tiub, muntah dan kembung perut berpanjangan. Sehingga kini dia masih di wad hospital,” katanya.
Katanya, dia sudah membelanjakan hampir RM7,000 untuk berulang-alik ke hospital, kos membeli susu khas, peralatan tiub saluran makanan dan penginapan semasa menunggu anak mendapatkan rawatan.
Menurutnya, paling berat tanggungannya apabila dia terpaksa berbelanja lebih RM1,000 sebulan untuk membeli susu khas untuk anaknya termasuk lampin pakai buang sejak Muhamad Bahaman ditempatkan di hospital dan ketika di rumah.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Adnan menerusi talian 0137447960 atau 01123603200 (Siti Mariam).-UTUSAN.