KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang terhadap larangan tayangan serta publisiti filem itu.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu berhubung permohonan yang dikemukakan oleh peguam N. Surendran yang mewakili pengarah, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit, Tan Meng Kheng. Mahkamah juga tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
Sementara itu, N. Surendran berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah pada hari ini.
“Malangnya hakim telah menolak semakan kehakiman dan beliau tidak memberikan sebarang alasan, tetapi alasan akan dikemukakan apabila kami memfailkan rayuan itu nanti,” kata peguam itu ketika ditemui media selepas tamat prosiding.
Turut hadir pada prosiding hari ini, Peguam Persekutuan, Mohammad Sallehuddin Md. Ali mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan selaku responden.
Terdahulu, Surendran mewakili pengarah dan penerbit filem berkenaan memohon Mahkamah Tinggi membatalkan larangan itu.
Beliau turut memohon agar mahkamah mengisytiharkan Akta Penapisan Filem sebagai tidak berperlembagaan, malah menyatakan tindakan melarang tayangan filem berkenaan adalah tidak bersifat rasional.
Katanya, larangan tersebut menyalahi menyalahi undang-undang kerana ia melarang hak anak guamnya untuk kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 daripada Perlembagaan Persekutuan.
Sebelum ini, KDN telah mengharamkan tayangan dan publisiti bagi filem tersebut.
Tindakan larangan itu dibuat menerusi Warta Kerajaan P.U (A) 2662 Akta Penapisan Filem 2002 Perintah Penapisan Filem (Larangan) 2023 bertarikh 21 Ogos 2023, ditandatangani oleh menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Filem Mentega Terbang yang ditayang menerusi platform penstriman video itu mengundang kecaman orang ramai dan didakwa memaparkan adegan bertentangan fahaman serta kepercayaan agama.