KUALA LANGAT: Jasad mendiang Yap Xin Huan, 15, yang ditemukan reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting di sini, selesai dituntut keluarganya hari ini.
Mendiang dituntut ahli keluarga di Unit Forensik Hospital Banting, kira-kira pukul 9.30 pagi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati jasad mendiang dibawa keluar dengan menaiki sebuah Toyota Vellfire.
Difahamkan, mendiang akan disemadikan di Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras, Kuala Lumpur pada tengah hari ini.
Ahli keluarga yang ditemui bagaimanapun enggan ditemuramah lanjut berikutan masih bersedih dengan kejadian itu.
Semalam, polis mengesahkan mayat reput remaja perempuan yang ditemui di Kampung RTB Sungai Changgang, Sabtu lalu adalah Xin Huan yang dilaporkan hilang sejak 19 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan ia hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh pihaknya yang didapati positif.
Tiga suspek berusia 16, 20, dan 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Xin Huan yang berpakaian baju tarian singa berwarna merah dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras. – UTUSAN