TAPAH: Masjid Al-Hidayah, Kampung Batu Tiga, Temoh di sini menyediakan minuman dan makanan percuma bagi mereka yang bermusafir.
Pengerusi masjid tersebut, Abdul Aziz Abd. Rahman, 61, berkata, menerusi Program Hentian Mesra Musafir itu, mereka yang bermusafir dapat menikmati pelbagai makanan berasaskan sayur-sayuran, ulam-ulaman, aneka bubur seperti ubi kayu, kacang dan pulut hitam.
“Selain itu, minuman kopi o, teh tarik, kordial ais, air kosong dan buah-buahan tempatan mengikut musim seperti durian, rambutan, langsat dan mempelam.
“Bagi masakan daging ayam, lembu, kambing dan pelbagai jenis ikan kebiasaannya disediakan secara bergilir-gilir mengikut bekalan semasa, kesesuaian dan perancangan tukang masak,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Makanan dan minuman percuma itu disediakan pada setiap Jumaat, Sabtu, Ahad termasuk cuti persekolahan dan cuti umum yang bermula pada pukul 1 petang hingga 10 malam.
Katanya, sekiranya cuti persekolahan selama sebulan, makanan dan minuman percuma itu disediakan setiap hari mengikut waktu ditetapkan oleh pengurusan masjid, orang kampung dan taman perumahan berdekatan.
“Kami melakukan segala aspek kerja iaitu penyediaan bahan, memasak dan menghidangkannya di kawasan khemah yang lengkap dengan meja dan kerusi yang boleh memuatkan sehingga 100 orang pada satu masa.
“Proses penyediaan semua menu ini dilakukan secara serius termasuk mengambil berat tentang aspek kebersihan, kesegaran dan kualiti makanan tersebut tanpa berkecuali,” katanya.
Beliau bercadang untuk membina bilik-bilik daripada bas usang atau koc kereta api yang tidak digunakan untuk kemudahan musafir yang berkeluarga secara percuma.-UTUSAN.