HULU TERENGGANU: Selepas 30 tahun meninggalkan ‘dunia’ menebar roti canai dan martabak, seorang warga emas dari Kampung Temir di sini, kembali mengusahakan kedai makan dengan menu martabak daging rusa menjadi ‘taruhannya’.
Tun Ahmad Tun Abdullah, 66, berkata, walaupun baru mulakan perniagaan 1 Januari lalu di Warisan Kota Temir, martabak inti daging rusa hasil air tangannya mendapat sambutan sehingga mencecah 50 biji sehari.
“Saya tidak sangka sambutan memberangsangkan kerana baru seminggu berniaga. Sebiji martabak inti daging rusa lebih kurang 100 gram dijual RM20 dan martabak ayam serta daging tempatan pula RM10 sebiji. Menu martabak serta roti canai hanya pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu.
“Bagi Ahad, Isnin dan Selasa pula menu istimewa ialah nasi goreng rusa berharga RM12 sepinggan. Bekalan daging rusa diperoleh daripada seorang kenalan yang menternaknya,” katanya ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Tun Ahmad berkata, walaupun harga daging rusa agak mahal, ia tetap mempunyai penggemar tersendiri kerana tekstur dagingnya lebih halus serta mempunyai aroma tersendiri.
Katanya, satu lagi tarikan di premis perniagaan ialah pelanggan boleh menikmati makanan dari atas pokok.
“Ia juga sebagai salah satu usaha bagi memperkenal Kampung Temir yang punyai sejarah kota lama Temir dan potensi pelancongan,” katanya.-UTUSAN.