BANGI: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memberi jaminan untuk memberi sokongan sewajarnya kepada peminjam dan penyewa yang terjejas akibat banjir.
Jaminan tersebut dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kata beliau, sokongan yang akan diberikan Mara adalah termasuk dalam aspek penjadualan semula pembayaran pinjaman serta bantuan kepada penyewa premis.
Bagaimanapun, jelasnya, setakat ini Mara tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman berkenaan.
“Setakat ini tidak ada rekod yang memperlihatkan bahawa ada rayuan daripada peminjam Mara yang terjejas banjir yang memohon atau merayu agar ada deferment pembayaran tersebut.
“Namun jika permohonan berkenaan disebutkan, maka pihak pengurusan Mara akan meneliti dan mengadakan perbincangan dengan pemohon berkenaan untuk melakukan adjustment (pelarasan) terhadap pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kuali Cafe@UKM di Bangunan Pusanika UKM, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Mara akan menilai kes-kes melibatkan penyewa premis yang terjejas akibat banjir secara individu.
Jelasnya, ia bagi memastikan penyewa premis Mara tidak menanggung kerugian akibat kejadian banjir yang di luar kawalan mereka.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, kerajaan akan memberi peluang kedua kepada individu yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke institusi TVET.
Ahmad Zahid berkata, lebih 10,160 individu pada tahun 2023 tidak menduduki SPM dan jumlah hampir sama dijangka pada tahun 2024.
Jelasnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis TVET Negara dan Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti golongan ini.
“Mereka boleh memohon memasuki kursus TVET yang sesuai dengan minat mereka melalui platform UP_TVET.
“Permohonan ini akan membolehkan mereka memasuki salah satu daripada 1,398 institusi TVET yang telah diselaraskan di seluruh negara,” katanya.
Tambahnya, langkah itu bagi memberi banyak pilihan kepada individu terbabit untuk memilih kursus dan institusi yang sesuai dengan minat mereka. – UTUSAN