KUALA NERUS: Kira-kira 40 penduduk kampung di sekitar Batu Rakit, di sini yang terjejas akibat hakisan pantai baru-baru ini, merayu bantuan segera daripada kerajaan negeri dan Pusat untuk meringankan beban kewangan mereka membaik pulih kerosakan yang berlaku.
Penduduk mendakwa, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang tampil mengumumkan sebarang bantuan kewangan untuk mereka sedangkan ramai yang kehilangan rumah, kedai dan chalet yang menyebabkan tempat berteduh serta sumber rezeki terjejas.
Seorang penduduk, Mohamad Hafiz Abdullah berkata, semua mangsa memerlukan bantuan kewangan segera untuk menampung kerugian yang dihadapi akibat kesan hakisan yang disifatkan luar biasa.
“Biasanya, kerajaan beri bantuan wang tunai segera kepada mangsa banjir ketika Monsun Timur Laut. Apa salahnya jika kerajaan umum bantuan serupa untuk kami yang dilanda musibah ini, sekurang-kurangnya dapat mengubat sedikit kesedihan akibat kehilangan harta benda ketika ini,” katanya.
Perkara tersebut diluahkan penduduk ketika menghadiri sesi dialog mangsa hakisan bersama bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Azmi Awang Ngah, 64 berkata, bantuan kewangan sangat diperlukan ketika ini kerana dia yang bekerja sebagai nelayan sudah lama tidak dapat turun ke laut menangkap ikan.
“Bantuan kerajaan sedia ada khas untuk nelayan iaitu RM300 sekarang memang tak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan. Nak turun ke laut pun susah sebab pengkalan nelayan dihanyutkan ombak. Biasanya musim tengkujuh boleh juga tangkap ikan di kawasan pesisir pantai untuk buat belanja harian.
“Bantu kami dari segi kewangan dan percepat projek pembinaan benteng pemecah ombak untuk mengurangkan kerugian penduduk pada masa akan datang,” katanya.
Zamri Sulong pula berkata, dia menanggung kerugian RM30,000 setelah rumahnya yang sedang dalam pembinaan hilang ditelan ombak.
“Nak kumpul duit bukannya mudah, memang sedih sangat kerana impian hendak beraya di rumah baharu tahun ini tidak kesampaian,” katanya.
Sementara itu, Bazlan berkata, sesi dialog itu diadakan atas kehendak penduduk yang terjejas kerana mahu suara mereka didengari kerajaan negeri dan pusat.-UTUSAN.