Mangsa banjir di Johor terus meningkat - Utusan Malaysia

Mangsa banjir di Johor terus meningkat

Anggota bomba menyelamatkan seorang warga emas di Kampung Pasir, Johor Bahru
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkatkan kepada 1,291 penduduk daripada 396 keluarga, setakat pukul 2 petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, sebanyak 22 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka membabitkan empat daerah iaitu di Kota Tinggi, Kulai, Pontian dan Kluang.

“Kota Tinggi merupakan daerah paling terjejas dengan seramai 1,088 penduduk daripada 346 keluarga ditempatkan di 13 PPS.

“Empat jalan di daerah tersebut ditutup sepenuhnya melibatkan Jalan Lok Heng/Mawai/Sungai Mas, Jalan Mawai Lama (rumah burung), Jalan Johor Bahru-Endau dan Jalan Kota Tinggi-Kluang. Tiada jalan alternatif disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jalan Johor Bahru-Endau (Yatama City dan PS Tebrau), Kampung Lukut Cina- Kampung Batu Ampat (Taman Aman dan Kolam Ikan) dan Jalan Batu Pahat-Jemaluang hanya dibuka untuk kenderaan berat sahaja.

Katanya, bagi di Kulai, 84 penduduk daripada 19 keluarga ditempatkan di empat PPS manakala 74 penduduk daripada 19 keluarga di Pontian dipindahkan ke empat PPS.

“Hanya satu PPS dibuka di Kluang iaiatu Sekolah Agama Kampung Tengah 1 yang menempatkan 45 penduduk daripada 12 Keluarga,” katanya.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga esok.

“Enam sungai di daerah ini berada di paras bahaya iaitu Sungai Kahang di Kampung Contoh di Kluang; Sungai Siam di Kampung Sungai Siam dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya (Kulai); Sungai Pulai di Kampung Ulu Pulai (Pontian); Sungai Skudai di Kampung Laut dan Parit Keliling di Kampung Pasir (Johor Bahru),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya