JOHOR BAHRU: Situasi banjir di negeri ini semakin baik apabila jumlah mangsa semakin berkurangan, iaitu 2,538 orang daripada 741 keluarga ditempatkan di 31 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 6 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu berkurangan berbanding 3,973 orang daripada 1,113 keluarga yang mendiami 38 PPS, 8 pagi tadi.
Kulai pulih sepenuhnya apabila seramai 764 orang daripada 191 keluarga di lima PPS pulang ke rumah masing-masing.
“Kota Tinggi kekal menjadi daerah paling terjejas apabila jumlah mangsa banjir meningkat menjadi 1,328 orang daripada 389 keluarga berbanding 1,313 orang daripada 376 keluarga pada 8 pagi tadi. Dua PPS baru dibuka pada pukul 11 pagi dan 2 petang tadi di kawasan Tanjung Surat melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepau dan SK Punggai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, jumlah mangsa banjir di Pontian pula mencatatkan sedikit peningkatan kepada 623 orang daripada 173 keluarga berbanding 595 orang daripada 161 keluarga.
“Keadaan banjir di Johor Bahru juga hampir pulih sepenuhnya setelah hanya tinggal sebuah PPS sahaja yang beroperasi iaitu SK Nam Heng di Tebrau yang menempatkan 53 orang daripada 16 keluarga.
Jumlah mangsa banjir di Kluang mencatatkan sedikit penurunan daripada 550 penduduk daripada 160 keluarga berbanding 534 penduduk daripada 161 keluarga. – UTUSAN