Malaysia tidak boleh terus miliki undang-undang lapuk - Anwar

Malaysia tidak boleh terus miliki undang-undang lapuk – Anwar

ANWAR Ibrahim pada sesi taklimat media bertajuk Unlocking ASEAN's Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Davos, Switzerland. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kemajuan pesat teknologi hari ini menuntut kerajaan memupuk peluang-peluang besar dalam kerjasama antarabangsa bagi menghadapi cabaran-cabaran baharu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam hal ini, Malaysia perlu membuat perubahan kerana undang-undang lapuk tidak boleh menangani banyak cabaran baharu yang muncul.

Katanya, menjadi komitmen kerajaan untuk menampilkan undang-undang terkini yang sejajar dengan perkembangan global.

“Kita ambil semua undang-undang terkini yang sejajar dengan perkembangan global dan menyesuaikannya dengan sewajarnya. Mujur kerajaan mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di parlimen. Itu sangat membantu.

“Rakyat akan melihat pelbagai perkara yang perlu kita lakukan untuk memberi makna kepada kerjasama yang berkesan dan dasar yang jelas serta pelaksanaan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media bertajuk Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025, Davos, Switzerland.

Penceramah lain pada sesi 30 minit yang dikendalikan oleh Ketua Pembangunan dan Perancangan Media WEF Dai Di itu ialah Worldwide Managing Partner Bain & Company Christophe De Vusser dan Ketua Agenda Serantau WEF untuk Asia-Pasifik Joo-Ok Lee.

Ketika ditanya bagaimana untuk mencapai potensi penuh ASEAN yang menyaksikan Malaysia sebagai pengerusi perkumpulan serantau berkenaan tahun ini, Anwar berkata, semua pemimpin anggota mesti terus merangka dasar yang betul, terutamanya mengenai kemajuan pesat teknologi baharu.

“Kerjasama itu bermaksud semua perlu merendah diri untuk mengakui bahawa ini adalah teknologi baharu yang mencabar. Kita tidak mempunyai semua jawapan, oleh itu kerjasama mesti bermula dengan semua pihak terlibat, daripada pemain, syarikat-syarikat besar dan juga negara.

“Sekarang tugasnya bukan untuk muncul dengan jawapan, sebaliknya untuk mendapatkan semua input yang diperlukan, mengenai apa yang perlu dilakukan. Sudah pastinya ekosistem yang perlu ada termasuk lapangan terbang, pelabuhan, infrastruktur, pusat kecemerlangan, penyelidikan dan kerjasama dengan universiti,” katanya.

Beliau berkata, selain kerjasama dalam kalangan pemimpin ASEAN, juga penting untuk melibatkan sektor swasta kerana teknologi adalah bidang yang memerlukan kerajaan untuk mengakui batasan mereka dan menerima pendekatan kolaboratif jika mereka ingin berjaya.

Anwar kini mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja tiga hari untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, di sini.

Ini merupakan penyertaan pertamanya dalam WEF sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 2022.

Dengan tema ‘Collaboration for the Intelligent Age’, sidang kemuncak peringkat tinggi yang bermula semalam dan berlangsung sehingga 24 Januari ini akan membincangkan pelbagai perkara antaranya berkaitan peranan dan sumbangan teknologi baru muncul serta inovasi terkini dalam menangani isu ekonomi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya