PETALING JAYA: Kerajaan Malaysia menandatangani Memorandum Urusan Haji dengan Kerajaan Arab Saudi bagi memperkukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam pengurusan ibadah haji untuk musim 1446H/2025M.
Memorandum tersebut dimeterai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang mewakili Malaysia, manakala Arab Saudi diwakili oleh Menteri Haji dan Umrah, Dr. Tawfig Fawzan Al-Rabiah.
Mohd Na’im berkata, pemeteraian ini adalah bukti komitmen kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia.
“Alhamdulillah, kunjungan rasmi ini membolehkan kita menjalin kerjasama lebih erat dengan Arab Saudi, memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Langkah ini juga selaras dengan usaha berterusan kerajaan dan TH untuk meningkatkan pengurusan jemaah haji serta memperbaiki kualiti perkhidmatan di tanah suci melalui kerjasama strategik dengan pihak di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan.
Antara perkara yang dipersetujui dalam memorandum tersebut adalah penetapan kuota rasmi jemaah haji Malaysia seramai 31,600 orang untuk musim 1446H/2025M.
Malaysia juga bersetuju mematuhi garis panduan Kementerian Haji dan Umrah, Arab Saudi termasuk ketibaan dan pergerakan pulang melalui lapangan terbang di Madinah dan Jeddah.
Semua kontrak berkaitan pengurusan jemaah haji akan diselesaikan lebih awal untuk memudahkan operasi di tanah suci.
Dalam pertemuan rasmi tersebut, Malaysia turut memohon kuota tambahan sebanyak 10,000 orang yang akan dipertimbangkan oleh Arab Saudi.
Pemeteraian memorandum ini berlangsung sempena acara tahunan Simposium dan Pameran Haji 1446H anjuran Kerajaan Arab Saudi yang bermula 13 hingga 16 Januari di Superdome, Jeddah.
Acara ini menghimpunkan pengendali operasi haji dan umrah dari seluruh dunia serta menjadi platform perkongsian aspirasi pengurusan haji.
Delegasi Malaysia yang hadir termasuk Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Syed Hamadah Syed Othman; serta barisan pengurusan kanan TH.
Selain menghadiri simposium, delegasi Malaysia turut mengadakan pertemuan dengan pengendali haji dari negara lain untuk bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dalam usaha meningkatkan perkhidmatan haji.