KOTA BHARU: Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) diarah menyiasat punca sebenar gangguan lalat yang memberi kesan kepada lebih 300 penduduk di Kampung Pasir Sotong dan Kampung Raja Dagang di Pasir Puteh, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan bagi tujuan berkenaan.
“Sebetulnya kita perlu merujuk masalah ini kepada Jabatan Kesihatan untuk mengetahui di mana punca pembiakan lalat dan jangka hayatnya. Kita perlu mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan masalah ini.
“Bagaimanapun kita akan memaklumkan perkara ini kepada MDPP dan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan yang ada kepakaran dalam masalah berkaitan lalat dan nyamuk,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, akhbar ini melaporkan, lebih 300 penduduk Kampung Pasir Sotong dan Kampung Raja Dagang ‘‘menderita’ selepas kawasan rumah mereka diserang lalat.-UTUSAN.