PETALING JAYA: Kekecohan membabitkan sekumpulan rakyat Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) yang berlaku semalam dipercayai berpunca daripada keinginan mereka untuk proses kembali ke negaranya dipercepatkan.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan mengesahkan berlaku insiden kekecohan melibatkan rakyat Palestn di WTKL sekitar jam 5 petang semalam seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya, insiden itu dipercayai berlaku disebabkan mereka mahukan proses permohonan untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.
“Akibat daripada insiden tersebut, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak untuk berbincang bersama dengan warga Palestin yang terlibat.
“Situasi berkenaan dapat dikawal dengan baik tanpa melibatkan sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL,” katanya.
Bagaimanapun, kekecohan dapat dileraikan selepas rakyat Palestin tersebut bersurai kira-kira jam 7.30 petang.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut,” katanya.
Semalam, tular satu rakaman video memaparkan sekumpulan individu warga Palestin mencetuskan kekecohan selain turut merosakkan barangan di WTKL.
Insiden itu menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat yang kecewa dengan kekecohan yang berlaku dan berharap warga Palestin dapat dihantar pulang ke negara mereka.
Mereka dipercayai dikalangan 127 orang awam Palestin yang cedera dan tiba di Malaysia pada 16 Ogos tahun lalu untuk menerima rawatan perubatan di sini berikutan serangan Israel ke atas Gaza.
Pada 4 Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Perhimpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil, mengumumkan bahawa Malaysia merancang untuk menerima orang awam Palestin yang cedera bagi membolehkan mereka menerima rawatan di Malaysia.
Pada 16 Ogos, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara Subang TUDM. – UTUSAN