KANGAR: Mahkamah Syariah Negeri Perlis perlu mempertimbang bagi meningkatkan sistem penyampaian dengan lebih berkesan selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan ini juga adalah selaras dengan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006 yang telah memasukkan tambahan Seksyen 72B bagi memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengadakan perkhidmatan secara elektronik.
Baginda bertitah, usaha-usaha ke arah mempercepatkan penyelesaian kes dan penyediaan rekod perbicaraan menggunakan teknologi terkini adalah antara langkah yang perlu dilakukan.
“Sebagai contoh, penggunaan sistem ‘Voice to Text’ dalam perbicaraan akan melakukan transkripsi automatik terhadap ucapan hakim, peguam syari’e, saksi dan semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan ke dalam teks bertulis.
“Transkripsi automatik ini akan dapat memastikan rekod perbicaraan lebih tersusun dan disimpan dalam bentuk digital yang mudah untuk diakses oleh pihak mahkamah sendiri.
“Ia juga akan mempercepatkan proses penyediaan nota keterangan dan alasan penghakiman jika terdapat kes yang dirayu ke mahkamah yang lebih tinggi,” titah baginda selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat MAIPs yang diadakan di Masjid Al-Istiqomah Teluk Jambu, Bintong, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, 140 orang penerima asnaf terpilih dari Kampung Teluk Jambu dan Abi menerima sumbangan RM700 secara tunai dengan jumlah keseluruhan bernilai RM98,000.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pendekatan bagi menyegerakan penyelesaian kes akan dapat menjimatkan masa dan kos yang diperlukan untuk menghasilkan transkrip perbicaraan secara manual seperti diamalkan ketika ini.
“Jika ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini, Mahkamah Syariah Perlis mungkin akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam aspek mengimplementasikan teknologi dalam perbicaraan,” titah baginda.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh warga kerja Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis atas beberapa kejayaan diraih sebelum ini.-UTUSAN