PETALING JAYA: Penuntut Jurusan Sains Kejururawatan Universiti Malaya (UM), Aidafatini Ab. Hamid yang menderita penyakit Anterior Cord Syndrome Secondary To Spinal Cord Infraction mendapat perhatian Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Aidafatini, 24, yang terlantar akibat lumpuh seluruh badan sejak Mac 2021 merupakan penuntut tajaan YBR menerima lebihan wang pampasan perlindungan takaful Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) sebanyak RM19,273.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya terpanggil untuk sekali lagi menyantuni Aidafatini bagi melihat keadaan kesihatan dan menyerahkan sendiri wang pampasan perlindungan takaful kepada keluarga penuntut tersebut.
“Dengan wang pampasan perlindungan sebanyak RM19,273 diharapkan dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan merawat Aidafatini serta bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapanya dari segi kos rawatan dan ubat-ubatan bulanan.
“Setelah pihak YBR selesai menyelesaikan bayaran balik pembiayaan pendidikan yang telah dikeluarkan kepada Aidafatini sepanjang pengajian pada 2019 sehingga 2021 sebanyak RM19,000, lebihan dari bayaran balik itulah dipulangkan semula kepada pelajar atau waris untuk digunakan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Syaiful, tujuan YBR mensyaratkan setiap penuntut yang menerima tawaran PPBU mengambil perlindungan takaful adalah bagi melindungi kewangan mereka dan waris daripada sebarang musibah.
“Antara kebaikan potongan takaful adalah ibu bapa atau waris tidak perlu risau dengan jumlah pembayaran semula yang perlu ditanggung oleh pelajar kerana pihak YBR akan memastikan pihak takaful membayar semula jumlah pembiayaan yang ditanggung sekiranya terdapat sebarang permasalahan seperti kesihatan, kemalangan ataupun berlaku kematian.
“Justeru, YBR sentiasa mendoakan agar Aidafatini diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor; Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat YBR, Khairul Na’im Arifin dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Ab. Hamid Che Awang, 68, berkata, dia sekeluarga terharu dengan kehadiran YBR yang mengambil berat keadaan anaknya.
“Saya amat terkejut dan berterima kasih kepada YBR kerana sudi hadir buat kali kedua untuk memberikan wang pampasan takaful dan melihat keadaan anak kami yang masih memerlukan kos perubatan dianggarkan RM1,400.00 sebulan termasuk kelengkapan penjagaan.
“Saya amat memerlukan dana tambahan untuk membantu anak saya yang terlantar dan pendapatan pencen bulanan tidak cukup untuk menyara kami sekeluarga. Wang takaful ini ibarat rezeki terpijak dan ia amat membantu saya dalam menguruskan anak yang memerlukan jagaan penuh,” katanya.
Sehingga 2024, seramai 7,413 penuntut telah ditawarkan Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM209.78 juta. – UTUSAN