‘Macam mana Putera Saud Abdulaziz tahu nombor akaun Najib?’ - Utusan Malaysia

‘Macam mana Putera Saud Abdulaziz tahu nombor akaun Najib?’

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan beliau tidak pernah memberikan nombor akaun peribadinya kepada mana-mana ahli keluarga atau kerabat diraja Arab Saudi.

Beliau juga tidak mengetahui dari mana keluarga diraja itu mengetahui nombor akaun peribadinya sebelum wang berjumlah jutaan dolar Amerika dimasukkan ke dalam akaun terbabit dan tidak pernah membangkitkan persoalan mengenainya kepada sesiapa.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pekan itu, beliau menjangka nombor akaun tersebut telah diberikan oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar: Kalau Datuk Seri tak pernah beri nombor akaun, jadi macam mana Putera Saud Abdulaziz Majid Al-Saud tahu mengenai nombor akaun Datuk Seri?
Najib: Saya tidak tahu, mungkin kemungkinan orang lain yang beritahu, mungkin Jho Low.

Kamal Baharin: Tapi ini akaun peribadi Datuk Seri.
Najib: Mungkin ada orang kongsikan, apa yang penting duit yang masuk disahkan.

Kamal Baharin: Ini dah macam keldai akaun. Ini sebabnya kita tak boleh dedahkan nombor akaun pada orang lain.
Najib: Saya tak tahu, siapa beritahu beliau (Putera Saud). Mungkin Jho Low beritahu.

Najib turut menyatakan beliau tidak tahu bagaimana surat berhubung derma Arab yang dialamatkan ke kediaman peribadinya boleh berada pada bekas Ketua setiausaha Sulitnya, Datuk Azlin Alias sebelum diserahkan kepadanya.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai pembukaan akaun peribadi itu, Najib menyatakan bahawa pembukaan itu diuruskan oleh Azlin.

Namun Najib tidak pasti sama ada lelaki yang meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2015 berada di rumahnya pada malam bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang datang ke rumah bekas Perdana Menteri itu bagi tujuan tersebut.

Najib juga menyatakan tidak pasti sama ada Jho Low ada di rumahnya ketika Tek Kuang menyerahkan dokumen pembukaan akaun AmBank untuk ditandatangani.

Ketika memberi keterangan pada Oktober 2022, Tek Kuang menyatakan, beliau diperkenalkan kepada Najib oleh Jho Low sebaik tiba di rumah bekas Presiden Umno itu.
Sementara itu, prosiding pada hari ini sedikit tegang apabila Najib dilihat sedikit defensif ketika menjawab soalan-soalan Kamal Baharin. Pada satu ketika, pendakwa raya itu memintanya bertenang kerana ‘darah tinggi naik nanti susah.’

Selain itu, Najib menyatakan beliau tidak pernah menimbulkan persoalan mengapakah wang yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun peribadinya datang daripada Putera Saud dan seorang individu yang dipercayai daripada keluar diraja Arab Saudi bernama Putera Faisal Turki Bandar al-Saud.

“Saya tak tanya, saya anggap ia dari (Almarhum Raja Arab Saudi) Raja Abdullah. Raja Abdullah telah beritahu akan memberi bantuan (kewangan) kepada saya, cara bagaimana beliau hendak berikan, bergantung pada dialah.

“Takkan Raja Abdullah sendiri yang akan hantar (wang), dia Ketua Negara. Saya anggap semua (wang masuk) dari hasratnya (untuk membantu saya). Duit itu datang dari keluarga diraja (Arab),”kata Najib dalam nada tinggi.

Najib juga menyatakan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kepada Raja Abdullah atau mana-mana keluarga diraja Arab Saudi sebagai tanda terima kasih atas pemberian sumbangan kewangan itu atas alasan perkara itu ada peribadi dan sensitif.

Kamal Baharin: Dulu Datuk Seri beri keterangan bahawa Datuk Seri iring editor The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong ke pintu kerana ia (menunjukkan) adab. Jadi bukankah lebih beradab (untuk ucap terima kasih atas pemberian wang).
Najib: Sumbangan seperti ini tidak boleh ditulis. Saya tidak boleh hantar surat secara peribadi kerana saya ketua kerajaan. Kalau saya tulis surat ia perlu ikut protokol, perlu melalui Kementerian Luar Negara sedangkan sumbangan ini peribadi.

Kamal Baharin: Saya cadangkan, Datuk Seri tidak pernah keluarkan surat penghargaan, terima kasih sebab Datuk Seri tahu wang ini bukan dari Raja Abdullah tapi daripada 1MDB.
Najib: TIdak setuju.

Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Kamal Baharin bahawa beliau boleh mengetahui siapa yang berada di belakang syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners dan Tanore Finance Corporation yang turut memasukan sejumlah wang ke dalam akaunnya.

Kamal Baharin: Semalam Datuk Seri katakan kepada saya, kalau saya berusaha, saya boleh tahu alamat rumah Datuk Seri. Jadi, kalau Datuk Seri berusaha mesti Datuk Seri boleh tahu siapa di belakang syarikat itu.
Najib: Saya tidak boleh tahu sebab hanya Bank Negara Malaysia yang boleh tahu siapa benefisiarinya.

Kamal Baharin: Datuk Seri Perdana Menteri, ada banyak pegawai di bawah Datuk Seri. Kalau Datuk Seri berusaha, beri arahan mesti Datuk Seri akan tahu.
Najib: Ya (saya Perdana Menteri tapi) pegawai saya tidak kuasa untuk mengetahui benefisiari. Yang ada kuasa ialah Bank Negara.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung minggu hadapan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya