PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu termasuk enam pegawai pemeriksa kenderaan disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di sebuah pusat pemeriksaan kenderaan di sekitar ibu negara.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 30-an dan 50-an itu ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Penahanan kesemua suspek adalah hasil soal siasat yang dijalankan oleh SPRM terhadap seorang ejen yang diserahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini.
“Bagaimanapun keenam-enam pegawai pemeriksa kenderaan terbabit telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan di ambil,” katanya.
Sementara itu, dua lagi individu ditahan reman selama lima hari bermula semalam sehingga 11 Januari 2025.
Perintah reman tersebut telah dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, setakat ini SPRM telah menahan sembilan individu dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.