BENTONG: Sebuah lori membawa muatan besi terbabas ke dalam gaung setinggi 20 meter di Kilometer 42.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan di sini malam tadi.
Kejadian itu menyebabkan pemandu dan kelindan tersepit di bawah kepala lori dan timbunan besi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, usaha membawa keluar mangsa sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat.
Tambahnya, pihaknya menerima panggilan pukul 8.17 malam sebelum sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
“Komander operasi melaporkan hasil dari kerja-kerja pencarian di lokasi, didapati terdapat dua lelaki dewasa tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang.
“Pihak bomba sudah meminta bantuan unit anjing pengesan (K9) bagi mengesan mangsa dan membuat pencarian di sekitar kawasan.
“Mangsa berjaya ditemukan dan kerja-kerja memotong besi menggunakan peralatan khas bagi membawa mangsa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis. Operasi masih dijalankan,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN