Lima suspek ditahan kes dua lelaki rentung rumah terbakar 

Lima suspek ditahan kes dua lelaki rentung rumah terbakar 

LIMA suspek termasuk anak saudara mangsa direman bagi membantu siasatan kebakaran yang mengorbankan nyawa seorang warga emas dan anak angkatnya di Kompleks Mahkamah Alor Setar. UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis mengklasifikasikan semula kematian dua lelaki yang rentung akibat kebakaran rumah di Jalan Kota Tanah, Tongkang Yard semalam akibat kejadian bunuh yang dipercayai angkara dendam.

Susulan itu, lima suspek berusia 19 hingga 53 tahun termasuk anak saudara salah seorang mangsa berjaya diberkas polis selain seorang lelaki warga Myanmar yang turut menghuni rumah itu.

Difahamkan, anak saudara mangsa masuk ke rumah terbabit dengan menggunakan kunci pendua diberikan seorang lagi suspek sambil membawa minyak petrol untuk disimbah kepada mangsa dan kediaman itu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan lanjut polis bersama bomba menemukan bahan api terbabit yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, kedua-dua mangsa berusia 61 dan 23 tahun yang sudah dikenal pasti identiti mereka sedang tidur di bilik tingkat atas rumah separa kekal itu ketika kejadian.

“Siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral yang mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian dan lebih menguatkan siasatan apabila mangsa berusia 61 tahun membuat laporan polis sehari sebelum itu kerana telefon bimbitnya dilarikan suspek.

“Bagaimanapun, laporan itu ditarik semula tidak lama kemudian sebelum kejadian kebakaran yang berlaku di kediaman itu mengorbankan dua mangsa,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Fisol bagaimanapun memaklumkan punca dendam itu masih disiasat pihaknya secara terperinci.

Tambahnya, daripada lima suspek ditahan itu, tiga daripadanya terlibat secara langsung dalam kejadian terbabit dengan salah seorangnya membantu menyerahkan kunci pendua kediaman itu kepada suspek utama.

“Namun, kelima-lima mereka kini direman sehingga 27 Januari ini bagi melengkapkan siasatan. Tiga suspek utama juga positif dadah dan dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd. Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit.

Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 pagi, semalam melibatkan kebakaran rumah kelas B jenis separa kekal yang dimiliki Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya