Lima nyaris maut, 9 lagi berdepan detik cemas nahas tujuh kenderaan - Utusan Malaysia

Lima nyaris maut, 9 lagi berdepan detik cemas nahas tujuh kenderaan

ANGGOTA penyelamat berusaha mengeluarkan seorang mangsa kemalangan daripada kenderaan jenis Perodua Myvi yang tersepit dalam satu kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, dekat Kampung Chendor di Cherating, Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lima mangsa termasuk seorang pemandu nyaris maut apabila kereta dinaiki terbabit kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, dekat Kampung Chendor di sini.

Kemalangan pukul 10 pagi hari ini itu turut membabitkan sembilan lagi mangsa dalam kenderaan terlibat yang dilaporkan berlanggar secara sebaris.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang nyaris maut daripada kenderaan jenis Perodua Myvi itu terselamat namun seorang daripadanya cedera ringan akibat tersepit.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan melibatkan tujuh kenderaan kesemuanya berlanggar secara sebaris dari arah belakang.

“Antara kenderaan yang terlibat adalah sebuah lori treler, sebuah lori jenis Hino, tiga buah kereta Perodua Myvi, sebuah kereta Honda Jazz dan sebuah Toyota Hilux,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zulfadli berkata, mangsa yang cedera dalam kejadian itu merupakan lelaki dewasa penumpang sebuah Perodua Myvi.

“Mangsa tersepit namun berjaya dikeluarkan oleh anggota penyelamat. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan Kementerian Kesihatan untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, katanya, sembilan lagi mangsa yang terlibat dalam kenderaan lain selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN