Lima keluarga hilang tempat tinggal, rumah runtuh dibadai ombak - Utusan Malaysia

Lima keluarga hilang tempat tinggal, rumah runtuh dibadai ombak

KEADAAN rumah penduduk di Kampung Cacar Lama, Paka di Dungun, Terengganu yang rosak teruk dibadai ombak. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kira-kira 14 penduduk daripada lima keluarga di Kampung Cacar Lama, Paka, di sini, hilang tempat berteduh selepas rumah mereka runtuh dan rosak teruk dipukul ombak besar serta angin kencang, sejak kelmarin.

Tinjauan di lokasi mendapati, sebuah rumah hanyut manakala empat buah rumah lagi runtuh separuh menyebabkan banyak barangan mereka dihanyutkan air.

Seorang penduduk, Zakaria Zainal, 45, berkata, sebelum ini, hakisan pantai dan ombak besar menyebabkan separuh rumahnya rosak, namun kini dia hanya tinggal sehelai sepinggang selepas kesemua bahagian rumahnya dibawa arus.

“Ketika kejadian, saya sedang memindahkan barang tiba-tiba ombak besar datang ‘bergulung-gulung’ hingga ke atas bumbung. Dalam sekelip mata rumah saya ‘ditelan’ ombak besar sebelum hilang dibawa arus.

“Sayu hati saya, hanya tinggal sekeping dinding yang masih tersisa. Saya tidak tahu di mana hendak berteduh selepas ini. Hendak sewa rumah atau bina semula rumah memang tidak mampu,” katanya semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Zufairie Zuhari, 35, berkata, dia dan isterinya, Nora Atika Mohd. Mazari, 30, dan dua anak mereka berusia tujuh tahun dan 10 tahun bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri selepas separuh rumahnya roboh, kira-kira pukul 8 malam Ahad lalu.

“Sewaktu kejadian kami sedang mengemas barang untuk berpindah keluar kerana rumah kami bergegar dipukul ombak. Belum sempat kami keluar, tiba-tiba dengar dentuman kuat sebelum separuh rumah runtuh.

“Mujurlah kami sempat keluari. Kami sangat takut dengan keadaan ombak dan angin kencang yang sangat luar biasa,” katanya.

Mohd. Zufairie berkata, dia buntu kerana tidak mampu menyewa dan membina rumah sendiri berikutan pendapatannya sebagai nelayan tidak menentu.

“Sudahlah tidak dapat turun ke laut, sekarang ini diuji pula dengan rumah runtuh. Saya tidak tahu nak kata apa lagi, buat masa ini kami terpaksa tinggal di balai raya yang dijadikan pusat pemindahan sementara,” katanya.

Selain rumah penduduk, ombak besar setinggi 3.8 hingga empat meter yang berlaku di daerah ini sejak petang Ahad turut menyebabkan banyak pokok tumbang dan beberapa kawasan di sepanjang Pantai Paka me­ngalami hakisan teruk.

Sementara itu kejadian struktur rumah runtuh akibat dibadai ombak besar dan angin kencang turut berlaku di Kampung Geliga Baru, Kemaman.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya