GUA MUSANG: Seorang lelaki rentung rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar bertembung dengan trak pikap di Bandar Utama di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.18 petang itu, mangsa yang masih belum dikenali identiti dipercayai terperangkap di dalam kereta miliknya dari jenis Proton Saga.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada pukul 5.18 petang.
Menurutnya, sepasukan 10 anggota bersama dua jentera telah ke lokasi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian untuk kerja-kerja menyelamat,.
“Sejurus tiba di lokasi kami dapati kereta tersebut sedang terbakar. Pemeriksaan lanjut mendapati seorang mangsa lelaki telah ditemukan rentung di dalam kereta tersebut.
“Salah seorang mangsa yang menaiki trak pikap jenis Toyota Hilux dan mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nor Azizi memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.-UTUSAN