KAJANG: Kejadian lelaki berusia 19 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah bangunan di sini, semalam membawa penemuan senjata api dalam kereta milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya pada mulanya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 12.34 tengah hari dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Mangsa seorang lelaki tempatan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan pemeriksaan mendapati tiada sebarang rekod jenayah pada mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, hasil siasatan lanjut membawa kepada penemuan sepucuk pistol semi automatik dan beberapa butir peluru yang disimpan di dalam bagasi kenderaan milik si mati.
“Penemuan tersebut amat mencurigakan dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti kaitan senjata api itu dengan sebarang kegiatan jenayah.
“Difahamkan mangsa tinggal di kawasan berhampiran dengan lokasi kejadian. Buat masa ini, motif insiden masih dalam siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sekurang-kurangnya enam sebatan, jika disabitkan kesalahan.
“Selain itu, satu siasatan kematian mengejut (SDR) turut dibuka.
“Proses bedah siasat akan dilakukan untuk mengenal pasti punca sebenar kematian,” jelasnya.
Menurut Naazron, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis terdekat atau Pegawai Penyiasat di talian 019-6556536. – UTUSAN