Legasi ayam percik Hutan Percha diteruskan - Utusan Malaysia

Legasi ayam percik Hutan Percha diteruskan

MOHD. HELMI Hassan membakar ayam percik di Warung Ayam Percik Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Setelah lebih setahun ditutup berikutan pengusahanya, Hassan Saad meninggal dunia pada Mei 2023, legasi Warung Ayam Percik Hutan Percha kini diteruskan anak lelakinya, Mohd. Helmi Hassan.

Pembukaan semula warung yang beroperasi di Felda Hutan Percha di sini, Ahad lalu itu ternyata amat dinantikan-nantikan para peminat hidangan berkenaan.

Mohd. Helmi berkata, meskipun urus niaga sepatutnya bermula pada pukul 12 tengah hari, ada pelanggan termasuk yang datang dari luar Melaka sudah bertandang seawal pukul 9 pagi kerana khuatir kehabisan ayam perciknya.

“Alhamdulillah sambutan hari pertama amat menggalakkan. Mereka ini rata-ratanya ialah pelanggan tetap ketika ayah saya berniaga.

“Boleh dikatakan hampir 15 tahun mereka makan ayam percik yang diusahakan ayah. Bila ayah meninggal lebih setahun kami tidak menjual menu ini, pastinya mereka rindu untuk merasa kembali hidangan ini.

“Ada orang Melaka yang sanggup balik ke kampung sekeluarga beramai-ramai sebab tahu warung ini akan beroperasi semula. Ada yang membeli sehingga 30 ketul, terima kasih atas sokongan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Tambah Mohd. Helmi, dia menyediakan kira-kira 30 ekor ayam pada mulanya, namun terpaksa menambah jumlahnya pada saat akhir kerana lebih separuh ayam percik telah terjual sebelum pukul 12 tengah hari.

Jelasnya, harga dinaikkan da­ripada RM3.50 kepada RM4 seke­tul bagi menampung kos bahan mentah yang kian meningkat.

“Saya terpaksa naikkan se­dikit harga sebanyak 50 sen. Semua orang tahu kos bahan mentah semakin hari semakin meningkat. Kita tidak mahu kurangkan bahan-bahan, sebab hendak kekalkan harga dan akhir­nya rasa ayam percik ini tidak sama macam ayah jual.

“Buat masa ini kami hanya buka pada Ahad sahaja. Kalau sam­butan terus menggalakkan insya-Allah saya akan pertimbangkan untuk buka setiap Jumaat dan Ahad seperti dulu,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya